Tidak puas dalami Natrah
::Gambar bersama Sofea Jane selepas pementasan Natrah
Sofia simpati tekanan emosi dihadapi gadis Belanda yang penuh kontroversi
HELAIAN muka surat buku Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha: Cinta, Rusuhan, Air Mata yang berada di depannya diselak satu demi satu. Setiap baris ayat yang tertulis di helaian itu dibaca dengan penuh khusyuk.
HELAIAN muka surat buku Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha: Cinta, Rusuhan, Air Mata yang berada di depannya diselak satu demi satu. Setiap baris ayat yang tertulis di helaian itu dibaca dengan penuh khusyuk.
Walaupun buku tulisan Datin Fatini Yaacob itu sudah dua kali habis dibaca, namun demi kerana watak Natrah yang dilakonkannya itu, dia tidak kisah mengulang baca walau untuk kesekian kalinya.
Biarpun sekadar muncul dalam beberapa babak dan hanya bermonolog, namun tegas pemilik nama penuh Datin Sofia Jane Hisham ini, dia tidak pernah mengambil ringan atau memandang remeh tanggungjawab yang itu. Selagi ada cara untuk mengenali dengan lebih dekat karakter serta perwatakan gadis Belanda, dia akan berusaha menggalinya.
“Masih banyak lagi mengenai Natrah yang saya perlu cari dan fahami. Walaupun sudah selesai membaca buku ini sebanyak dua kali, namun itu masih belum cukup. Buku ini adalah antara sumber rujukan saya dan selain itu, saya juga mencari bahan lain menerusi internet.
“Dari situ kita dapat lihat dan baca mengenai perwatakan Natrah dan apa yang membelenggu hidupnya selama ini. Membawakan watak Natrah maknanya saya harus selami emosinya yang terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik. Jujurnya, selepas membawakan watak Natrah untuk musim pertama dulu, saya menjadi begitu simpati dengannya.
“Dia menjadi mangsa orang di sekeliling yang memperjuangkan nasibnya atas dasar ada agenda di sebaliknya,” ungkap Sofia ketika kami duduk bersembang di Kafe Istana Budaya.
Sambil menghirup minuman teh panas, pelakon yang mula menceburi bidang lakonan menerusi filem Mira Edora ini menyifatkan antara dia dan Natrah seolah-olah mempunyai persamaan. Malah setiap kali berada di pentas untuk menghidupkan kembali Natrah ketika berusia 70 tahun, dia seperti dapat merasakan roh wanita itu menjalar di setiap urat saraf dan nadinya.
“Banyak yang saya pelajari apabila membawakan wataknya. Saya dapat rasakan dia adalah sebahagian daripada diri ini. Kami sama-sama pernah kehilangan. Dia kehilangan suami, keluarga dan saya pernah kehilangan anak. Mengenangkan situasi itu, saya dapat merasakan kesedihan dan penderitaannya dan perasaan itulah yang dilontarkan dalam monolog saya,” tuturnya sambil mengharapkan penonton juga dapat berkongsi rasa penderitaan yang di lalui oleh Natrah.
Diajak berbicara mengenai kontroversi yang melanda teater arahan Erma Fatima itu, Sofia berkata dia sebenarnya tidak begitu bersetuju apabila ada pihak yang menjadikan perkara itu sebagai isu besar.
“Kita kena lihat keseluruhan inti pati teater ini dan tidak hanya dari sudut tertentu saja. Soal agama atau akidahnya, hanya tuhan yang tahu. Apa yang di paparkan dalam teater ini, hanyalah mengenai perasaan seorang wanita bernama Natrah yang hidupnya tidak seindah yang diimpikan,” tuturnya yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Hanyut di bawah arahan U-Wei Shaari.
Masih ikuti kelas lakonan
TERKEJUT seketika apabila pelakon ini memberitahu yang dirinya masih lagi mengikuti kelas lakonan yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Tidak menyangka dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang lakonan, Sofia masih mahu meluangkan masa emasnya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.
“Kenapa terkejut? Robert De Niro masih mengikuti kelas lakonan,” reaksi spontan Sofia apabila bercerita yang dia mengikuti kelas lakonan.
Menyambung bicara, tegas Sofia tidak rugi jika seorang pelakon itu menimba ilmu sebanyak mungkin demi untuk kemajuan diri sendiri.
“Saya bukan saja mengikuti kelas lakonan tetapi juga kursus penulisan yang dianjurkan FINAS. Tidak ada had usia untuk seseorang itu menuntut ilmu. Lagi banyak kita belajar lagi mantap lakonan kita,” kata Sofia yang pernah mendapatkan khidmat daripada mendiang Krishen Jit, Datuk Faridah Merican dan Normah Nordin sebelum ini.
Biarpun mengakui masih aktif dalam bidang lakonan, namun disebabkan komitmen terhadap keluarga mengatasi segala-galanya, membuatkan Sofia terpaksa mengehadkan pembabitannya.
“Saya masih aktif berlakon cuma tidak serancak dulu. Tahun ini saya terbabit dalam filem Hanyut, teater Natrah 2 dan juga telefilem Karma Salina. Walaupun cuma tiga, saya rasa itu sudah cukup memenatkan. Mungkin disebabkan watak saya dalam ketiga-tiga itu memerlukan saya bermain dengan emosi. Itu membuatkan saya penat,” kata Sofia yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2007.
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/11/30
1 comments:
erk, ketinggalan aku (alah mmg selalu ketinggalan pun kan??? kahhhhh!) Sofea Jane dah datin ek???
Post a Comment