Awasi diet anak-anak
PERDEBATAN tentang nutrisi buat kanak-kanak dari usia enam tahun ke atas bukan isu baru.
Antara yang sering dipersoalkan ialah keperluan mengambil susu kerana kebanyakan ibu bapa terutama masyarakat Melayu menghentikan pemberian susu apabila anak mencecah usia enam tahun.
Ibu bapa terbabit mungkin beranggapan bahawa anak pada usia tersebut boleh makan semua jenis makanan dan khasiat boleh diperolehi hasil daripada pemakanan tersebut sahaja.
Anggapan itu disangkal oleh pakar nutrisi Dutch Lady, Quah Ye Vian yang memberitahu pada usia enam tahun ke atas kanak-kanak sebenarnya amat memerlukan susu sebagai makanan penting untuk pertumbuhan minda mereka.
"Seperti yang kita sedia maklum kebanyakan masyarakat hari ini menghentikan pengambilan susu anak mereka apabila anak telah mula ke sekolah.
"Tindakan ini tidak patut berlaku sama sekali kerana susu adalah sumber khasiat untuk otak seperti DHA dan AA yang membantu perkembangan minda anak-anak yang telah mula ke sekolah," jelas Ye Vian ketika ditemui di ibu pejabat Dutch Lady di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Ye Vian, pada umur menjelang enam tahun hingga 12 tahun, pemakanan anak-anak banyak dipengaruhi oleh rakan mereka di sekolah.
"Memang ibu akan berpesan kepada anak jangan makan makanan itu dan ini (makanan tidak berkhasiat). Namun ibu bapa harus sedar yang anak sememangnya akan terdedah dengan pelbagai jenis makanan tersebut.
"Ibu bapa tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan diingatkan bahawa tabiat pemakanan sihat itu sememangnya bermula dari rumah," jelasnya.
Lulusan dalam bidang nutrisi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menambah, ibu yang prihatin akan memantau kandungan makanan yang dimakan oleh anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat usia enam tahun ke atas.
Ini kerana pada peringkat usia tersebut kandungan nutrien yang diperlukan lebih daripada anak berusia enam tahun ke bawah.
"Pada usia enam tahun hingga 12 tahun, perkembangan fizikal mereka juga meningkat dan yang paling penting lagi pada usia ini mereka sudah mula masuk sekolah.
"Jika ibu berikan pemakanan yang cukup kandungan nutriennya maka anak tersebut akan boleh memberikan fokus lebih terhadap pelajaran di samping itu mereka juga boleh memproses maklumat yang diterima dengan lebih baik," ujarnya.
Ye Vian mengingatkan ibu bapa bahawa tanpa nutrien yang baik anak akan hilang konsentrasi, mudah mengantuk dan sekali gus hilang fokus dalam pelajaran.
"Ibu bapa merupakan insan yang bertanggung jawab atas masa depan anak kerana mereka yang memberikan anak tersebut keperluan makanan yang sepatutnya.
"Amat merisaukan apabila ada ibu bapa yang menganggap sarapan itu meremehkan. Padahal mereka tidak tahu bahawa amalan tidak mengambil sarapan otak tidak boleh memproses maklumat.
"Ada kajian yang membuktikan bahawa pengambilan sarapan pagi mempengaruhi keputusan peperiksaan pelajar.
"Sarapan pagi juga membantu perkembangan kognitif terutama jika diet sarapan turut mengandungi susu yang diperkaya dengan Omega 3 dan 6 di mana penghantaran deria ke otak akan lebih baik," jelasnya.
Ye Vian juga memberitahu ibu bapa bahawa kandungan dan kuantiti susu adalah berbeza mengikut usia anak.
"Dutch Lady banyak melakukan kajian tentang keperluan nutrien mengikut usia dan tumbesaran anak. Kajian kami bukan sahaja kajian dalaman malah melibatkan universiti seperti UKM dan UPM (Universiti Putera Malaysia), jadi kami telah mengenalpasti apakah nutrien khusus yang sesuai untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
"Dutch Lady sejak dari dulu lagi memang begitu serius tentang pengambilan nutrien anak-anak. Bagi kami ibu bapa juga harus bersikap ambil tahu apa yang mereka beri anak makan kerana setiap yang baik atau buruk pada anak itu datangnya dari didikan ibu bapa," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment